Tuesday, April 17, 2012

Tanda-Tanda Bersalin Sebenar VS Kontraksi Palsu


Salam dan hai readers,


Sebenarnya banyak tanda-tanda awal menunjukkan masa sudah tiba untuk kita melahirkan anak. Mesti ramai ibu-ibu di luar sana bimbang dan tertanya-tanya apa petunjuk awal untuk kita lebih bersedia dalam proses persalinan bayi termasuklah diri Azu sendiri. Walaupun ini adalah kali ke-dua Azu bakal berdepan dengan situasi ini namun rasa bimbang tetap ada sebab semua kakak-kakak Azu punya tanda-tanda yang berbeza-beza setiap kali melahirkan anak mereka yang ramai tu. Isk, ramainya~

Seringkali juga kita tertanya-tanya apakah perbezaan ketara tanda-tanda bersalin yang sebenarnya atau amaran palsu~mungkin ia hanya Braxton Hicks ke..

Tanda-tanda Bersalin yang Sebenarnya

i) Keluar Tompok Darah dari Vagina

Tanda-tanda bersalin selalunya akan diikuti dengan keluarnya tompok darah dari vagina. Ia seakan-akan tompokan darah haid kita. Mula-mula tompok, lepas tu lebih banyak darah akan keluar. Lebih baik kita standby dengan pad yang banyak dan segera ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Azu pernah alaminya, 1st time kan memang risau sungguh bila nampak tompokan darah jam 1 pagi tu. Apa lagi, Azu terus ajak En hasben ke hospital. Tak rasa sakit langsung tapi bila 2 jam di hospital, rasa sakit macam Braxton Hicks tu muncul agak kerap iaitu dalam 15-20 minit sekali. Masa tu Azu masih boleh jalan-jalan, bersembang dalam telefon dengan hampir semua ahli keluarga yang ada, sempat lagi tengok bola Piala Dunia 2010 dengan en hasben dan Sepanyol menang!!

Tension jugak tengok semua ibu-ibu hamil yang baru datang je terus masuk labor room, pastu keluar dengan kerusi roda beserta tangisan bayi yang menyentuh hati ini. Bukaan serviks Azu baru 2cm dan kata doktor Azu mungkin bersalin lama lagi tambahan pula pertama kali bersalin. Bak kata orang tua-tua, jalannya belum ada.. oh yeke? Adoii~ Akhirnya, Azu bersalin 5 pagi esoknya. Satu hari gak menunggu si kecil yang mencari-cari jalan keluar untuknya. Alhamdulillah, Allah SWT permudahkan urusan kami berdua.

ii) Plag Mukus Tertanggal


Azu memang tak pasti tentang tanda ini sebab belum pernah alaminya tapi melalui pembacaan ringkas Azu Plag Mukus/Palam mukus serviks (operculum) adalah plug yang diisi dan menyalut saluran serviks sepanjang mengandung selama 9 bulan. Ia bertindak sebagai pelindung dengan menghalang bakteria dalam uterus. Biasanya semasa kehamilan, ia berupa lendir yang berwarna keruh, tebal dan melekit. Manakala di akhir kehamilan, apabila serviks menipis, darah akan dilepaskan dalam serviks yang menyebabkan mukus berdarah dan ia merupakan salah satu dari tanda tibanya masa untuk bersalin dan mungkin juga mengambil masa beberapa jam atau beberapa hari sebelum masanya tiba.

iii) Air Ketuban Pecah (Kantung Amnion)


Air Ketuban atau cecair Amnion adalah membran yang membina kantung amnion yang mengelilingi dan melindungi embrio yang sedang membesar. Itu sebablah selalu kita dengar kalau air ketuban sudah pecah, segeralah ke hospital berhampiran kerana bila air ketuban yang menjadi perlindungan bayi sudah pecah pasti akan mengundang bahaya buat bayi yang masih dalam kandungan. Kalau cecair itu sudah mula keluar, selalunya si ibu akan merasa sakit dan kontraksi akan bertambah kuat dan bersedia untuk kelahiran bayi.

iv) Kontraksi/ Pengecutan yang Lebih Kerap

Mungkin tiada pendarahan atau air ketuban belum pecah, tetapi diikuti dengan kontraksi atau pengecutan yang sangat kerap iaitu berlaku hampir 5 minit setiap kali dan selalunya masa untuk bersalin juga sudah tiba.

Tanda-tanda Bersalin yang Palsu

Tanda-tanda bersalin yang palsu memang sering mengelirukan para ibu hamil hampir mempunyai tanda bersalin  yang sebenar namun mempunyai ciri-ciri yang berbeza. Sekiranya kontraksi adalah tidak menentu, hanya tertumpu di bahagian bawah abdomen atau sakitnya tidak bertambah buruk dari masa ke semasa, maka itulah amaran palsu yang perlu dikenalpasti.

Memang ada sesetengah bakal ibu baru yang mengalaminya. Azu menemui kebanyakan dari mereka ketika Azu masih berada di wad kecemasan. Misi bertugas yang ada meminta mereka pulang ke rumah kerana keadaan mereka yang masih stabil dan terdapat masalah kekurangan bilik wad yang telah kehabisan. Mujur kontraksi Azu sudah mencapai tahap yang dibenarkan tinggal di wad kecemasan walaupun 2 cm. Bilik Wad pun sudah disediakan untuk Azu. Kalau disuruh balik, Azu pengsan dulu~Jauh!

Tengah mengah menahan kontraksi ni, tapi masih sempat bergambar lagi, saja buat kenangan walaupun muka terpaksa.he~

Perbezaan Tanda-tanda Bersalin Sebenar dan Amaran Palsu

Jika didapati amaran palsu ini, anda patut cuba berjalan-jalan dan mengubah kedudukan baring atau duduk anda. Mungkin kesakitan itu akan beransur-ansur hilang. Kontraksi sebenar adalah tetap, mempunyai peningkatan kontraksi yang jelas, menunjukkan penurunan bayi semasa dan aktiviti janin serta kontraksi sebenar akan tertumpu di bahagian pelvis anda. Maka, itulah saat atau tanda-tanda bersalin yang semakin hampir.

Ha, nampaknya panjang lebar gak entri Azu kali ini. Diharap memberi sedikit sebanyak info ringkas buat semua pembaca BamBam2u terutamanya ibu hamil yang bakal melahirkan si kecil yang comel.

Salam sayang dari BamBam2u untuk semua!

Sumber:
Pregnant.thebump.com
Wikipedia

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...